UMNO perlu lebih perjuangkan hak Melayu: Reezal
2010/10/20
KUALA LUMPUR: UMNO sebagai parti yang menjadi tunggak kerajaan perlu dilihat lebih adil kepada orang Melayu terutama dalam memperjuangkan bidang yang mereka masih ketinggalan berbanding kaum lain.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata sekalipun prinsip perjuangan UMNO adalah berteraskan kepada keadilan untuk semua kaum, namun perjuangan membela hak Melayu perlu lebih diutamakan. "Kesamarataan dan kesaksamaan tidak bermakna keadilan, tapi keadilan akan menjamin kesamarataan dan kesaksamaan," katanya ketika membawa usul menyokong ucapan terima kasih ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung pergerakan itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Reezal Merican berkata, tindakan pihak tertentu yang membangkitkan soal kesamarataan dan kesaksamaan sebenarnya masih keliru atau mempunyai agenda tertentu dengan apa yang mereka mahu perjuangkan.
Beliau turut membuat analogi berkenaan kesamarataan dan kesaksamaan dengan cerita sebuah keluarga yang menjamu selera di sebuah restoran.
"Adakah saksama dan sama rata apabila bapa (ketua keluarga berkenaan) memesan tomyam untuknya, untuk isterinya, untuk anaknya yang berusia 15 tahun dan adakah dia perlu juga memesan tomyam untuk anaknya yang berusia enam bulan?
"Anaknya yang berusia enam bulan itu tak perlu makan tomyam tapi mahu susu cap gantung...," katanya.
Beliau turut mengajak seluruh jentera pemuda supaya berjihad menentang petualang dan pengkhianat bangsa dan negara yang setiap hari menabur fitnah dan menipu rakyat.
"Pihak pembangkang ini umpama pembohong bersiri, tipu memanjang, fitnah memanjang, yang jadi mangsa adalah rakyat, yang diperbodohkan adalah rakyat, mereka inilah petualang dan pengkhianat negara," katanya.
Beliau berkata, petualang dan pengkhianat bangsa atau negara ini bukanlah sesuatu yang baru dalam setiap kali pembinaan tamadun, malah ia telah wujud sejak zaman Rasulullah lagi.
Sementara itu, wakil Sabah, Armizan Mohd Ali ketika menyokong usul tersebut berkata seluruh jentera Pemuda UMNO tidak perlu terikut-ikut dengan sesuatu isu yang dimanipulasi pihak pembangkang.
"Apa pun, kadang kala kita terkilan apabila pihak UMNO sendiri mengkritik Pemuda, Pemuda dikritik sehingga seolah-olah keseluruhannya buruk dan Pemuda dikritik di media massa," katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Papar, Sabah berkata Pemuda UMNO bukanlah tidak boleh dikritik atau ditegur, malah bersedia dimaki, tetapi perlulah mengikut saluran yang betul supaya moral anggota Pemuda tidak luntur.
"Cuma kita ingin bertanya, siapa yang wariskan kelemahan UMNO sekarang ini? Adakah Pemuda UMNO? Siapa yang jadi wakil rakyat berpenggal-penggal, sejak UMNO kuat sehingga UMNO tak kuat? Kenapa Pemuda UMNO hendak dipersalahkan apabila UMNO sedang lemah?" katanya.
Beliau berkata, semua pihak dalam pergerakan itu kini perlu menghentikan apa jua bibit perpecahan dalam usaha mengukuhkan semula UMNO untuk terus berada di landasan yang betul dalam memperjuangkan hak orang Melayu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment